Sila Klik Like

Formula Solat Sempurna



5 perkara mencapai khusyuk:
1. memahamkan semua bacaan dalam solat dan menghayati maknanya.
2. merasakan kebesaran Allah seolah-olah anda berada di hadapanNya
3. menghadirkan rasa gerun terhadap kekuasaan Allah, dengan demikian rasa hebat terhadap Allah akan dapat dihasilkan.

4. mengharapkan rahmat Allah dengan sepenuh harapan bahawa ibadat anda akan diterima.
5. berasa malu kepada Allah kerana kecuaian dalam mengotakan janji kita terhadapNya dan kekurangan kita dalam melakukan ibadat terhadapNya
Usaha tambahan bagi mendapatkan khusyuk
Jika semua bentuk dosa (kerosakan akidah dan kepercayaan seperti percaya pada bomoh, ramalan, sihir, tangkal azimat, sial tentang sesuatu perkara/binatang seperti burung, jadi bomoh secara tidak rasmi, percaya ilmu bintang serta makanan, minuman dan pakaian dari harta yang haram) telah dipastikan tiada, berikut adalah beberapa cara yang boleh dilakukan bagi menambahkan lagi peluang khusyuk:
Kaedah luaran
  • menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan mengkhayalkan pemikiran. Jauhi juga menghadap apa-apa gambar atau tulisan yang menarik perhatian untuk dilihat dan dibaca. Seelok-eloknya solat menghadap dinding.
  • mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan tumpukan mata ke tempat sujud.
  • ditegah bersolat dengan pakaian yang ada gambar, berwarna-warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekusyukan ketika berjemaah.
  • mengambil wuduk dengan tenang dan sempurna
  • membaca isti’azah dalam hati ketika terasa minda tidak fokus kepada solat
  • jangan solat dalam keadaan terlalu lapar, ingin membuang air kecil atau besar
  • meletakkan penghadang di hadapan tempat solat agar tiada orang yang lalu lalang di hadapan
  • mendirikan sembahyang pada awal waktu
  • mendirikan solat berjemaah bagi lelaki
  • azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang sendirian atau sekurang-kurangnya iqamat sahaja
  • jauhi dari tempat solat yang bising dan hingar
  • menjaga mata dari melihat perkara yang terlarang oleh Islam
Kaedah dalaman
  • Lazimkan bertaubat sekerap yang mampu. Sebaik-baiknya sebelum tidur bagi membersihkan hati daripada kotoran dan dosa
  • agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita, serta menganggap solat tersebut adalah solat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik
  • membaca dengan baik, berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat al-Qur’an yang dibacakan itu terutamanya al-Fatihah, gerakan dan maknanya. Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut difahami oleh orang yang melaksanakannya
  • mempelajari tatacara solat berasaskan dalil dan pandangan ulama, agar kita dapat merasakan hampirnya kita dengan Nabi dan dapat merasakan kesempurnaan solat
  • menghadirkan rasa sedang berhadapan dengan Tuhan sekelian alam iaitu Allah S.W.T. dan Allah sedang memerhatikan seluruh gerak geri hati dan luaran solat
  • timbulkan rasa malu (al-haya’) terhadap Allah, rasa takut (khauf) pada azab Allah yang pedih
  • kumpulkan fikiran kita kepada dosa-dosa yang kita lakukan, walaupun ia dilakukan sewaktu kecil, hinakan diri di hadapan Allah S.W.T, rasakan kita tidak layak sama sekali untuk ke syurga. InsyaAllah ia mampu menitiskan air mata jika dibuat dalam keadaan yang hening dan penuh penghayatan
  • berharap serta yakin (optimis) Allah akan menerima solat kita
  • hadirkan hati dalam solat - kosongkan hati dari segala urusan yang boleh menggangu dan tidak berkaitan dengan solat
Dipetik dari: Zaharuddin Abd. Rahman (2008). Formula Solat Sempurna. Kuala Lumpur: Telaga Biru.

No comments:

Post a Comment